INFORMASI

PELAKSANAAN KAJIAN TINDAKAN

Apa itu kajian tindakan?

Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.

Kajian Tindakan dan Guru
Para pendidik perlu sentiasa meneliti peranan mereka supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan tanah air.  Oleh itu,  seorang pendidik perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terkini dan menyesuaikan diri dengan budaya dan teknologi baru.  Seseorang pendidik itu perlu merenung,  menyoal dan menyelidik peranan dan tugas mereka.  Pendidik yang sedia membuat kritikan kendiri,  akan menyelidik kesan-kesan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta mengubah suai perlakuan dengan sewajarnya.  Amalan pengajaran perlu dijadikan sebagai amalan pendidikan yang lebih kritis terhadap perlakuan sendiri.

Kepentingan Kajian Tindakan
Kajian tindakan bertujuan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan amalan menerusi perkembangan peribadi dan profesional seorang guru dengan bertanggungjawab ke atas tindakan mereka dalam mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran kondusif dan dinamik.  Dalam konteks guru dan kajian tindakan,  guru yang terlibat dalam kajian tindakan selalunya ingin mengkaji konteks di mana mereka berada dan bekerja kerana mereka ingin kajian yang dijalankan memberi satu perubahan dan perbezaan dalam persekitaran kerja mereka.
            Bagi guru yang profesional,  melalui kajian tindakan,  mereka akan dapat melihat bahawa kerja mengajar bukanlah sesuatu yang rutin.  Hal ini kerana setiap strategi yang digunakan adalah bergantung pada situasi dan konteks.  Secara logiknya,  tidak ada satu strategi yang sesuai dan boleh digunakan untuk semua kelas,  murid,  dan konteks murid.  Justeru,  melalui kajian tindakan guru dapat melihat dan menilai strategi yang sesuai digunakan dalam situasi dan keadaan tertentu. 

Cabaran-cabaran Menjalankan Kajian Tindakan
Penting bagi pengkaji untuk menjangkakan beberapa isu yang mungkin menjadi potensi masalah semasa menjalankan kajian tindakan.  Oleh itu,  persediaan serta refleksi yang dilakukan sebelum memulakan sesuatu projek boleh meminimumkan masalah yang mungkin timbul.  Antara cabaran yang mungkin timbul adalah:
Tujuan Kajian Tindakan Guru


Ciri-ciri Kajian Tindakan
1.      Kajian tindakan memeriksa masalah yang difikirkan penting untuk diselesaikan oleh pengamal.
2.      Masalah yang dikaji merupakan masalah yang boleh diselesaikan.
3.      Masalah yang dikaji memerlukan tindak balas yang praktikal.
4.      Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pemahaman penyelidik tentang masalah yang dikaji.
5.      Kajian tindakan menggunakan metodologi kajian kes dalam menjelaskan apa yang berlaku dan    
      bagaimana tiap-tiap perkara berkait antara satu sama lain.
6.      Kajian kes melaporkan persepsi dan kepercayaan mereka yang terlibat dalam latar yang dikaji     
      seperti guru,  pelajar,  dan sebagainya.
7.      Menggunakan bahasa seharian yang digunakan oleh partisipan kajian.
8.      Kajian tindakan hanya boleh disahkan melalui dialog dengan partisipan dalam keadaan yang tidak       tertekan.
9.      Perlu ada sebaran maklumat yang mudah dalam kalangan mereka yang terlibat dalam kajian.


LATAR SEJARAH KAJIAN TINDAKAN


Kajian tindakan dalam bidang pendidikan juga memperlihatkan perkembangan yang seiring dengan konsep guru sebagai penyelidik dan pengamal reflektif.  Sejarah kajian tindakan telah banyak dibincangkan dan didokumentasikan dengan baik.  Penulis-penulis seperti Adelman (1993)  dan Kemmis (1982) banyak membicarakan latar belakang perkembangan kajian tindakan mengikut pandangan tertentu. 
            Smith (2001) telah membahagikan perkembangan kajian tindakan mengikut kem-kem tertentu.  Beliau merujuk kepada tradisi British yang khususnya berkait dengan pendidikan,  yang lebih melihat kajian tindakan sebagai kajian yang berorientasi ke arah peningkatan amalan secara langsung. 
            Namun begitu,  asal usul kajian tindakan selalu dikaitkan dengan kerja-kerja Kurt Lewin (1880-19470 di Amerika Syarikat.  Beliau dikatakan sebagai orang yang mula-mula menggunakan perkataan ‘action research’ (kajian tindakan) kira-kira dalam tahun 1934.  Pada pertengahan tahun-tahun 1940-an,  Kurt Lewin dikatakan telah membentuk teori kajian tindakan yang menjelaskan kajian tindakan sebagai, “… proceeding in a spiral of steps,  each of which is composed of planning,  action and at the evaluation of the result of action” (Kemmis, 1990).  Seterusnya Lewin menyarankan bahawa untuk memahami dan mengubah amalan-amalan sosial tertentu,  ahli-ahli sains sosial perlu melibatkan pengamal daripada dunia sosial sebenar dalam semua fasa inkuiri.
            Kajian tindakan telah berkembang di Amerika Syarikat dengan ramai peminat dan pengikutnya sejak awal abad ke-20.  Kajian tindakan seterusnya berkembang mengikut aliran pemikiran yang berbeza,  termasuklah kumpulan kajian tindakan Amerika Syarikat yang asal-usul pemikiran mereka berasaskan gerakan pendidikan progresif yang banyak berkembang dalam kerja-kerja Dewey.  Di United Kingdom pula,  kajian tindakan berkembang dalam pembaharuan –pembaharuan kurikulum serta perkembangan profesionalisme dalam pengajaran.  Sementara di Australia,  kajian tindakan berkembang dalam gerakan-gerakan ke arah perancangan kurikulum secara kolaboratif.



Kajian Tindakan Dalam Penyelidikan

Kajian tindakan telah mendapat tempat yang baik dalam kalangan ahli-ahli pendidik terutama sekali dalam konteks perkembangan profesional dan pembuatan keputusan berasaskan data.  Asas teoretikal kajian tindakan dalam pendidikan banyak berkisar kepada kepentingan yang diberi oleh John Dewey kepada pengalaman manusia dalam penjanaan pengetahuan.  Di samping itu,  Schon dengan konsep pengamal reflektif juga telah menggunakan pengalaman guru dan lain-lain pengamal sebagai sumber pengetahuan tentang pengajaran. 
            Idea pengamal pendidikan menjalankan penyelidikan di sekolah telah berjalan seawal akhir abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh bersama gerakan kajian saintifik dalam pendidikan.  Guru telah dilihat sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data yang bekerja secara saintifik dalam bilik darjah mereka.  Selaras dengan gerakan saintifik dalam pendidikan ini adalah gerakan progresif yang dipelopori oleh Dewey. 
            Awal tahun 1950-an kajian tindakan telah dikembangkan dalam bidang pendidikan terutamanya oleh Corey di Columbia Teachers College yang percaya bahawa guru akan mendapati bahawa dapatan kajian mereka adalah lebih berguna daripada yang dijalankan oleh orang luar.  Corey yang pada masa itu menjadi pegawai eksekutif Horace mann-Lincoln Institute for School Experimentation,  menggalakkan stafnya berkolaborasi dengan guru-guru dalam menjalankan penyelidikan.

            Gerakan penyelidik-guru merupakan titik penghijrahan yang kritikal.  Di Britain,  kerja-kerja penyelidikan Stenhouse dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an memaparkan tesis utama pemikiran beliau yang mengatakan bahawa pengajaran perlulah berlandaskan kepada penyelidikan dan penyelidikan dan perkembangan kurikulum adalah merupakan bidang tugas guru.  Justeru,  kefahaman tentang kerja mereka dan seterusnya pengajaran mereka dapat ditingkatkan.

  
MODEL KAJIAN TINDAKAN

Dalam perkembangan kajian tindakan,  didapati beberapa model atau skema dikemukakan oleh beberapa pengkaji seperti Stephen Kemmis,  John Elliot,  Dave Ebbutt Jack Whitehead,  dan lain-lain.  Kemmis,  Elliot dan Ebbutt dikatakan mengemukakan model yang lebih formal,  preskriptif,  dan lari daripada konsep asal kajian tindakan yang dikemukakan oleh Lewin. 













FORMAT KAJIAN TINDAKAN

1.         Refleksi pengajaran dan pembelajaran yang lalu

·         Pengkaji mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran yang berlaku sebelum ini. Masalah ini dapat dikenal pasti melalui reaksi murid yang terlibat dalam pengajaran guru. Cuma, pengkaji harus ingat bahawa kajian ini bertujuan memperbaiki diri pengkaji, bukan memperbaiki kelemahan murid.

·         Guru boleh juga mengkaji sesuatu kemahiran yang dia sendiri rasa kurang yakin keberkesanannya. Contohnya, menggunakan model pengajaran konstruktivis dalam pengajaran atau dia berasa sesuatu yang tidak kena dengan pengajarannya.

2.         Isu keperihatinan

·         Subtopik ini samalah peranannya dengan kajian literatur dalam penyelidikan konvensional. Cuma tidaklah sedalam literatur tersebut. Tujuan subtopik ini adalah untuk memastikan sejauh mana penyelidik tahu tetang teori atau konsep kemahiran yang hendak dikaji tersebut. Contohnya, jika guru tersebut ingin mengkaji tentang model konstruktivis, beliau seharusnya memahami tentang teori pembelajaran konstruktivis, model-model konstruktivis, prinsip-prinsip konstruktivis dan sebagainya.

3.         Objektif kajian

·         Objektif kajian perlulah berfokuskan kelemahan diri sendiri yang hendak diperbaiki (bukan memperbaiki kelemahan murid). Murid berperanan sebagai pengkaji bersama, bukan sampel kajian.

4.         Kumpulan sasaran

·         Jelaskan murid yang terlibat.

5.         Pelaksanaan kajian

            Pelaksanaan kajian perlu mengikut fasa-fasa gelungan kajian tindakan seperti yang berikut:

·         Merancang
·         Melaksana
·         Mencerap
·         Menganalisis data dan mereflek

Gelungan 1
           
5.1       Merancang

·         Pengkaji mencari/mengenal pasti rakan penyelidik/penyelidik bersama dalam kajian nanti. Penyelidik bersama tersebut mungkin rakan, guru pembimbing, murid atau sesiapa sahaja yang difikirkan dapat membantu penyelidik;

·         Berbincang dengan rakan penyelidik tentang  masalah diri hasil daripada refleksi pengajaran yang lalu dan mengenal pasti masalah sebenar yang akan menjadi fokus kajian;

·         Penyelidik  mengkaji literatur yang berkaitan;

·         Berbincang dengan rakan penyelidik tentang pelaksanaan kajian. Di sini kedua-dua pihak perlu bersepakat dari segi

o   Masa kajian
o   Murid yang terlibat
o   Kemahiran focus
o   Pendekatan/Model/Kaedah pengajaran
o   Alat bantu
o   Alat yang digunakan untuk memungut data (wajib dan dijadikan lampiran dalam laporan nanti)
o   Perancangan pengajaran dan sebagainya

·         Penyelidik membuat perancangan secukupnya untuk mengajar.

5.2       Melaksana

·         Penyelidik mengajar seperti yang telah dirancang pada fasa 1;

·         Penyelidik bersama (rakan) membuat pencerapan serta mencatatkan kekuatan dan kelemahan pengajaran berdasarkan borang penilaian yang telah dipersetujui.

5.3       Mencerap

·         Penyelidik bersama (rakan) mencerap dan memungut data berdasarkan alat kajian yang telah dipersetujui pada fasa 1.

5.4       Menganalisis data dan mereflek

·         Data yang sudah dipungut dianalisis untuk mencari kekuatan dan kelemahnnya. Proses ini perlu dilakukan bersama-sama dengan rakan pengkaji;

Gelungan 2, Gelungan 3 dan seterusnya

·         Jika kurang berjaya,  pengkaji dan rakan pengkaji perlu membuat perancangan baharu untuk pergi ke gelungan 2.

·         Proses dalam gelungan 2 ini sama dengan proses dalam gelungan 1. Kegagalan gelungan 1 mungkin datang dari pelbagai faktor seperti perancangan pengajaran yang kurang berkesan, alat bantu yang kurang sesuai, alat memungut data kurang sesuai dan sebagainya. Perkara ini perlu diperbetul pada fasa 1 gelungan 2. Selepas itu, pengkaji perlu melaksanakan semula kajiannya;

·         Jika sudah berjaya, kajian ini berhenti di sini.

·         Jika gelungan 2 juga tidak berjaya, pengkaji harus bersiap sedia untuk pergi ke gelungan 3

6.         Rumusan

·         Pengkaji merumuskan kemahiran baharu yang dapat dikuasainya.

7.         Kajian selanjutnya

·         Biasanya, apabila satu masalah sudah diselesaikan masalah lain akan timbul. Masalah inilah yang akan menjadi fokus dalam kajian selanjutnya.


                                


KPD 3026
PENGAJARAN, TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN 2
KAJIAN TINDAKAN
TAJUK:      KEMAHIRAN MENERANG



NAMA PELAJAR               :
NO MATRIK                        :
SEMESTER                          :
NO TEL                                 :
NAMA PENSYARAH         :


1.0  REFLEKSI PENGAJARAN LALU

Semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Pengajian Malaysia, berkaitan dengan Proses Pilihanraya. Saya dapati bahawa objektif pembelajaran saya tidak tercapai kerana kelemahan saya untuk memberikan penerangan yang jelas kepada mereka. Mereka tidak dapat memahami dengan jelas proses-proses yang terlibat semasa pilihanraya diadakan. Hanya segelintir sahaja yang dapat menyatakan kembali Proses Pilihanraya di Malaysia. Semasa membuat aktiviti kumpulan, mereka sering menyoal maklumat yang saya kehendaki. Masih ada juga yang bertanya berkaitan dengan proses pilihanraya walaupun telah dinyatakan sebelum ini.

Selain itu, seingat saya selepas set induksi saya ada berbincang dengan murid tentang  pilihanraya. Saya mencuba menerangkan kepada murid maksud pilihanraya dan bagaimana pilihan raya dilaksanakan di Malaysia. Selepas penerangan tersebut saya berulangkali bertanya kepada murid tahap kefahaman mereka. Dengan nada yang penuh yakin mereka mejawab serentak “Faham!”. Saya menjadi yakin dengan jawapan murid itu.  Rupa-rupanya sebahagian sahaja murid yang tahu. Selebihnya berdiam diri. 

Kelemahan saya dalam sesi menerangkan pilihanraya kepada murid ini dikesan oleh rakan penilai saya, Siti Murhimmah. Beliau berpendapat bahawa saya kurang mahir dalam fasa menerang. Oleh itu, saya memilih fasa ini untuk dibaiki. Untuk itu, saya perlu mencari kaedah alternatif bagi mengatasi masalah ini agar kefahaman murid bertambah dan sekali gus dapat memperbaiki kelemahan saya sendiri.


2.0  ISU KEPERIHATINAN

Setelah saya dan rakan saya membuat penilaian, kami mendapati bahawa permasalahan murid sukar memahami tajuk yang diajarkan adalah disebabkan oleh kelemahan guru dalam fasa penerangan. Jadi untuk memperbaiki guru dalam teknik penerangan yang betul agar objektif pelajaran tercapai, saya mencari maklumat secara terperinci berkaitan dengan kemahiran menerang yang betul.

2.1  Kemahiran Menerang

Kemahiran menerang merupakan salah satu daripada komponen dalam kemahiran makropengajaran. Kemahiran menerang ialah satu kemahiran untuk menceritakan, menjelaskan, menggambarkan, memindahkan sesuatu perkara yang diketahui kepada orang lain. Kemahiran ini tidak berasaskan kepada sesuatu teori dan teknik yang tertentu, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan guru mengendalikannya dan mengenal pasti sejauhmana pencapaian murid. Kemahiran ini digunakan di peringkat perkembangan sama ada untuk menyampaikan maklumat, konsep atau isi kandungan pelajaran kepada murid. Oleh itu, kemahiran menerang bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada murid dengan cara yang berkesan, membina pengetahuan dan kefahaman murid serta dapat mengikut arahan dengan jelas.

Objektif penggunaan kemahiran menerang ialah guru dapat menyampaikan maklumat atau menjelaskan isi pelajaran kepada murid dalam masa yang singkat. Kesannya, murid dapat memahami konsep atau isi pelajaran dengan lebih cepat, mudah dan tepat. Ia dapat memudahkan murid memahami konsep atau isi pelajaran dengan jelas serta ia mampu menghuraikan sesuatu proses seperti langkah-langkah menjalankan projek, ujikaji atau masalah. Malah, kemahiran menerang mampu menjelaskan sebab-sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau meramalkan kemungkinan berlakunya peristiwa tertentu.

2.2  Jenis-jenis Kemahiran Menerang
Kemahiran menerang terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
1.      Penaakulan
2.      Interpretatif dan
3.      Deskriptif

Menerang secara penaakulan ialah menggunakan proses logik untuk menjawab soalan dan menstruktur semula konsep atau idea. Sebagai contoh, guru menunjukkan gambar salji. Murid memberitahu guru bahawa gambar tersebut ialah air salji. Guru bertanya di mana murid nampak air salji. Murid menjawab mereka nampak di televisyen. Guru bertanya lagi, adakah kamu pernah pegang air salji. Murid menjawab tidak pernah. Kemudian, guru menerangkan bahawa kita tidak pernah memegang air salji kerana salji tidak terdapat di negara kita. Oleh itu, contoh sumber mesti mencukupi supaya guru akan memberikan input dengan menyeluruh dan disertakan bahan bukti kepada murid.

Manakala, menerang secara interpretatif ialah menghuraikan maksud sesuatu istilah atau penyataan, idea, konsep, prinsip, atau teori. Contohnya, guru menerangkan alat yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Guru menunjukkan plastik dan menerangkan kepada murid sebab plastik tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana permukaannya licin. Penerangan yang disampaikan oleh guru haruslah berdasarkan pengetahuan sedia ada murid yang lepas supaya mereka dapat mengikutinya dengan mudah dan bermakna.

Akhir sekali menerang secara deskriptif pula ialah menghuraikan proses, struktur, dan prosedur. Sebagai contoh, guru menerangkan kepada murid bahawa kita boleh bersuci tanpa menggunakan air. Oleh itu, guru tersebut menerangkan kepada murid mengenai alat-alat yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu daun-daun kering, tisu, batu dan air mutlak. Batu yang boleh digunakan untuk bersuci mempunyai struktur atau bentuk bersegi dan tidak berbentuk bulat. Penerangan ini membantu murid faham dengan jelas sesuatu maksud, konsep, fakta, isi pelajaran dan sebagainya dengan ringkas dan padat.

2.3  Prinsip- Prinsip Kemahiran Menerang
Terdapat empat prinsip utama yang perlu ditonjolkan dalam kemahiran menerang iaitu:

a)      Gunakan kejelasan
Guru harus menumpukan kepada aspek yang spesifik seperti gunakan contoh, ilustrasi dan media yang relevan dan menarik, fokus semula dengan membuat ringkasan, gunakan bahasa mudah serta sesuai dengan murid, elak kekaburan dan penggunaan ayat tidak relevan. Sebagai contoh, guru menggunakan ilustrasi dengan menunjukkan kad bergambar pelbagai jenis air iaitu air laut, air embun, air sungai, air hujan dan air salji. Penggunaan ilustrasi kad bergambar dapat memberi penerangan yang sangat jelas kepada murid dalam memahami isi pembelajaran tersebut. Melalui contoh-contoh, ilustrasi dan alat bantu mengajar ia akan dapat membantu merangsang pelbagai jenis deria murid serta memudahkan kefahaman dan memperkukuhkannya dalam ingatan mereka. Oleh itu, contoh-contoh ilustrasi atau sumber pengajaran hendaklah ditentukan dan disediakan terlebih dahulu oleh guru sebelum sesi pembelajaran dilaksanakan.

b)     Gunakan Penegasan
Penggunaan variasi intonasi guru semasa di bilik darjah amat penting. Hal ini dapat membezakan guru sedang marah, tegas dan bersikap lembut. Oleh itu, guru harus menunjukkan beza penunjuk atau penyerlah pergerakan dan gerak isyarat. Dalam video tersebut, variasi intonasi yang digunakan oleh guru berjaya menunjukkan murid tekun dan dapat memberikan seratus peratus perhatian terhadap sesi pembelajaran yang sedang dilaksanakan. Penegasan intonasi amat penting dalam satu proses pembelajaran kerana guru dapat memastikan proses pembelajaran berjalan dalam keadaan yang lancar dan kondusif.

c)      Urutan dan kesinambungan
Urutan atau kesinambungan ialah menggunakan pendekatan induktif atau deduktif. Kaedah induktif merupakan salah satu kaedah mengajar yang sesuai digunakan dalam pengajaran pelbagai mata pelajaran, khususnya Matematik, Sains dan Bahasa (Mok Soon Sang, 2001). Pengajaran berasaskan gaya induktif adalah satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi di mana melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulan (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004)

Pengajaran berasaskan gaya pemikiran deduktif adalah satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran berdasarkan keseluruhan konsep. Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan yang diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus (Mok Soon Sang, 2003)

Melalui prinsip ini, guru juga boleh membantu murid untuk mengingati sesuatu perkara (prompts). Oleh itu, guru harus menggunakan variasi atau kata penghubung dalam penyampaian di samping pelbagaikan kelajuan penyampaian. Keadaan ini dapat mengalakkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi kaku dan bosan. Kesannya, murid dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru semasa di dalam bilik darjah jika penerangan yang diberikan menarik dan bermakna.

d)     Dapatkan maklum balas pelajar
Dalam proses mendapatkan maklum balas, berlakunya interaksi dua hala antara guru dan murid. Guru mesti melibatkan murid dengan melihat reaksi dan tingkah laku murid. Sekiranya murid sterkawal dan menunjukkan perhatian kepada guru, ini menunjukkan murid seronok dan berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran. Malah, guru perlu mewujudkan peluang kepada murid untuk menunjukkan kefahaman, minat dan sikap mereka terhadap proses pembelajaran tersebut.

2.4  Komponen Kemahiran Menerang dengan cara yang betul

                     

Rajah 1: Komponen penting yang terdapat dalam kemahiran menerang

2.5  Penggunaan dan Impak Kemahiran Menerang
Untuk menggunakan kemahiran menerang dengan berkesan, guru hendaklah memahami dan mematuhi beberapa prinsip iaitu guru hendaklah merancang aktiviti pengajaran dengan memilih cara dan bentuk penerangan yang sesuai.  Masa untuk menggunakan kemahiran menerang hendaklah singkat. Murid mudah bosan jika mereka disuruh duduk diam untuk mendengar penerangan guru dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang aktiviti lain. Untuk mengekalkan minat pelajar terhadap penerangan guru, kemahiran variasi rangsangan hendaklah digunakan, terutama bagi penerangan yang memerlukan masa yang melebihi satu minit. Oleh itu, dalam video ini guru tersebut menerangkan sambil menggalakkan murid menulis isi penting di papan putih di hadapan kelas. Selepas aktiviti perancangan, guru hendaklah menggalakkan murid untuk bertanya kepada guru mengenai perkara yang kurang difahami oleh mereka sepanjang proses pembelajaran dilaksanakan.

Antara impak penggunaan kemahiran menerang dalam proses pengajaran dan pembelajaran  ialah:
1.      Murid dapat memahami konsep fakta dan bahan pengajaran guru akan menjadi jelas iaitu isi pelajaran dapat difahami dengan lebih cepat, mudah, tepat dan bermakna.
2.      Murid juga dapat memahami sesuatu proses atau prosedur secara terperinci dan teratur.
3.      Pelajar dapat menaakul sebab musabab berlakunya sesuatu kejadian dengan lebih jelas jika penerangannya menarik dan bermakna.
4.      Contoh- contoh ilustrasi dan bahan pelajaran yang digunakan bukan sahaja dapat merangsangkan pelbagai deria pelajar, tetapi juga memudahkan kefahaman konsep dengan tepat serta mengukuhkan apa yang diterangkan dalam ingatan mereka.
5.      Penggunaan masa aktiviti pengajaran guru dapat dijimatkan kerana murid dapat memahami dengan cepat dan ini boleh digunakan untuk menambahkan aktiviti pembelajaran yang lain kepada murid.

3.0  OBJEKTIF
Objektif utama kajian tindakan ini dilakukan adalah untuk memperbaiki kelemahan saya dalam fasa penerangan pada sesi pengajaran yang akan datang bagi memastikan murid akan lebih memahami tajuk yang diajarkan dan untuk mewujudkan pengajaran yang lebih teratur.

4.0  KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada para pelajar kursus KPD3026 yang bertindak sebagai pelajar tingkatan 6. Seramai tujuh belas orang pelajar terlibat dalam kajian ini.

5.0  PELAKSANAAN KAJIAN

5.1 Gelungan 1


5.1.1    Merancang

Berdasarkan masalah yang telah dikenal pasti, saya dan kawan saya iaitu Siti Murhimah telah berbincang  dan mendapati punca masalah timbul adalah disebabkan oleh faktor guru yang gagal memberikan penerangan yang jelas kepada pelajarnya. Kami mendapati bahawa penerangan penting dalam memperkukuh tahap pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran mereka. Melalui pembacaan dan analisis yang dibuat juga, fasa penerangan sebenarnya mempunyai langkah dan cara yang betul untuk mempraktikkannya agar proses penerangan berjaya dilakukan guru.
           
Antara aspek yang dirancang:
                               I.            Masa kajian
Menetapkan masa untuk melakukan proses pengajaran semula iaitu selama empat puluh minit, dengan melakukan penambahbaikan dari permasalahan yang dikenal pasti, iaitu masalah dalam fasa penerangan.

                            II.            Murid yang terlibat
Masih menggunakan pelajar dari pengajaran pertama untuk proses pengajaran penambahbaikan ini. Jumlah pelajar iaitu seramai tujuh belas orang juga, tidak berubah.

                         III.            Kemahiran fokus
Guru mengfokuskan kepada cara untuk memperbaiki kemahiran penerangan kerana fasa penerangan penting untuk mencapai objektif pengajaran. Sebagai contoh, guru mengaplikasikan komponen-komponen yang terdapat dalam kemahiran menerang, iaitu dari komponen permulaan, ilustrasi, penyusunan data dan penutup. Setiap kali untuk melakukan fasa seterusnya dalam pembelajaran atau akan melakukan akiviti, guru akan menerangkan secara jelas dahulu berkaitan tajuk untuk menambah pemahaman pelajar.
Dalam pembelajaran juga, guru akan lebih mengfokuskan kepada penerangan dengan memberikan contoh-contoh yang menarik dan bersesuaian dengan aras pemikiran pelajar. Contohnya, guru memberikan contoh Pilihanraya 2013 sebagai isu semasa yang berkaitan tajuk.

                         IV.            Kaedah pengajaran
Menggunakan kaedah pengajaran kaedah koperatif dan hanya menfokus kepada tajuk yang diajarkan. Menurut Effandi Zakaria (1998), pembelajaran koperatif adalah suatu strategi pengajaran dimana pelajar-pelajar saling membantu di antara satu sama lain di dalam kumpulan kecil. Justeru, kaedah pengajaran koperatif memerlukan penerangan yang jelas daripada guru agar aktiviti pelajar yang dilakukan terhasil. Contohnya untuk pembentangan kumpulan, sebelum melakukan aktiviti kumpulan lagi, guru perlu memberi penerangan yang jelas berkaitan aktiviti. Selain itu, guru juga akan mendapatkan maklum balas pelajar terlebih dahulu, agar tidak akan wujud permasalahan apabila kerja kumpulan dijalankan. Melalui reaksi pelajar yang dipamerkan adalah jelas baharulah kerja dalam kumpulan dapat dilakukan.

                            V.            Alat bantu
Guru menggunakan alat bantu mengajar seperti video, kertas A4, nota, marker dan buku rujukan. Kesemua bahan bantu mengajar juga adalah jelas dan menarik. Sebagai contoh, untuk video yang ditayangkan pada pengajaran pertama ditukar kepada video yang tidak membosankan di samping memudahkan pelajar memahami. Melalui video yang jelas, guru akan mudah menerangkan kepada pelajar untuk proses pemahaman.

                         VI.            Alat yang digunakan untuk memungut data
Alat yang digunakan untuk memungut data ialah melalui Borang Penilaian Kajian Tindakan (Kemahiran Menerang). Untuk kajian kali ini, saya dan rakan saya bersetuju menilai 3 subkemahiran menerang sahaja, iaitu
·         Menggunakan alat bantu semasa membuat penerangan;
·         Membuat demonstrasi; dan
·         Menggunakan tekanan suara dan petunjuk keutamaan semasa membuat penerangan seperti “perhatikan maklumat ini”, “dengar baik-baik”, “catatkan maklumat penting” dan sebagainya.
Berdasarkan keputusan tersebut kami telah sama-sama membina borang penilaian yang akan digunakan oleh rakan saya semasa sesi pencerapan nanti. Borang tersebut dilampirkan di Lampiran 1.


                      VII.            Perancangan pengajaran
Saya dan rakan merancang Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang akan digunakan dalam pengajaran nanti. Model yang dipilih ialah model pembelajaran koperatif. Saya akan mengajar dalam tempoh masa empat puluh minit dan terdapat lima fasa utama dalam perancangan pengajaran yang bermula dengan set induksi, fasa penerangan, aktiviti kumpulan dan kesimpulan. Dalam perancangan pengajaran tersebut juga, saya  memastikan tiga subkemahiran menerang yang akan dinilai semasa pengajaran nanti disediakan dengan selengkapnya, terutama alat bantu.

5.1.2    Melaksanakan Pengajaran dan Mencerap

Saya mengajar seperti yang dirancang. Rakan saya duduk di bahagian belakang kelas untuk menilai subkemahiran yang saya gunakan. Beliau menggunakan boring penilaian yang telah sama-sama kami bina. Selain itu, rakan saya mencatatkan tingkahlaku pelajar semasa sesi pengajaran bagi mengukuhkan dapatan.

5.1.3                    Menganalisis data dan mereflek

Selepas sesi pengajaran, saya dan rakan saya berbincang tentang maklumat yang diperoleh semasa sesi mencerap berlangsung. Rakan saya membentangkan dapatannya berdasarkan borang penilaian yang telah dibina.

Jadual 1: Dapatan Pencerapan
Bil
Subkemahiran
Tahap
1
2
3
1
Menggunakan alat bantu


2
Membuat demonstrasi


3
Menggunakan tekanan suara dan petunjuk keutamaan



Daripada aktiviti yang dijalankan, iaitu bermula dari tayangan video atau montaj, menunjukkan pelajar berminat dan tidak bosan kerana video hanya digunakan untuk membantu penerangan saya dalam pengajaran. Guru juga tidak banyak bergantung kepada tayangan montaj sebaliknya cuba mencari idea sendiri untuk memberikan penerangan terbaik kepada pelajar dengan ransangan-ransangan lain seperti intonasi suara dan bahasa tubuh. Secara keseluruhannya, saya telah berjaya menggunakan alat bantu semasa memberi penerangan kepada pelajar.

Selain itu, melalui penukaran aktiviti menggunakan kad manila kepada penggunaan papan hitam juga turut memberikan impak yang positif.. Walaupun guru kelihatan jarang memanfaatkan papan hitam, hanya menggunakan beberapa kali sahaja, teknik ini telah mendatangkan impak kepada pelajar. Penerangan menggunakan papan hitam oleh guru dilihat lebih memberikan fokus kepada pelajar, kerana penerangan guru menjadi tidak terikat dengan masa dan boleh memberikan contoh-contoh yang jelas. Namun begitu, rakan saya memaklumkan bahawa saya kurang berjaya memanfaatkan masa yang ada. Oleh sebab respons yang sangat baik daripada pelajar, saya gagal mematuhi masa yang telah ditetapkan.

Dari segi membuat demonstrasi semasa memberi penerangan pula penilaian yang diberikan oleh rakan saya agak sederhana. Saya didapati masih kekok dan malu-malu untuk membuat demonstrasi di hadapan kelas. Saya mengaku bahawa saya memang kurang berjaya membuat demonstrasi semasa memberi penerangan kerana kekurangan pada diri saya. Saya berjanji akan memperbaiki subkemahiran ini pada masa akan datang dengan berlatih sendirian sebelum masuk ke kelas.
Saya diberi tahniah oleh rakan saya kerana berjaya mengaplikasi subkemahiran menggunakan tekanan suara dan petunjuk keutamaan dalam penerangan saya. Mengikut laporan yang diberikan oleh rakan saya, pelajar menunjukkan tingkahlaku yang mereka faham apa yang sampaikan setelah petunjuk keutamaan digunakan. Ini merupakan kekuatan saya dan saya akan amalkan semasa pengajaran saya pada tempat-tempat yang sesuai.

5.2                  Gelungan 2 dan selanjutnya
Sekiranya diberikan peluang sekali lagi, saya akan cuba memperbaiki lagi kaedah penerangan saya yang masih lemah. Berdasarkan analisis yang saya lakukan bersama-sama dengan rakan, saya masih lemah dalam membuat demonstrasi. Saya akan berlatih sehingga saya berjaya.
Di samping itu, saya akan terus mengekalkan kecemerlangan yang telah saya peroleh dari kajian saya, terutama dalam pengguanaan alat bantu mengajar.  Hal ini kerana, alat bantu mengajar yang berkesan tidak akan menyebabkan pelajar merasa bosan.  Justeru, untuk kajian selanjutnya, saya akan menambah dan mempelbagaikan alat bantu mengajar untuk meningkatkan motivasi pelajar.


6.                  RUMUSAN
Kajian ini juga telah menunjukkan bahawa, kemahiran menerang seharusnya perlu dimiliki dan dipraktikkan oleh guru kerana proses menerang merupakan salah satu proses yang penting dalam mendapatkan hasil pembelajaran yang baik. Hal ini kerana, kemahiran menerang yang betul sebenarnya dapat membantu pelajar memahami dan mengingat dengan mudah fakta-fakta yang sukar difahami mereka.
Atas kesedaran ini, saya amat yakin bahawa kajian-kajian seperti ini perlu diteruskan oleh guru kerana melalui kajian sebegini, guru dapat menilai keupayaan mereka sendiri dalam memastikan hasil pengajaran mereka tercapai. Guru merupakan tunggak utama dalam menghasilkan kejayaan pelajar dan atas sebab itulah, orang yang pertama yang perlu disalahkan atas kegagalan pelajar adalah guru. Maka, untuk memperbaiki kelemahan ini, kajian-kajian seperti ini perlu diteruskan dan semoga kajian seperti ini akan mendapat sokongan dari semua pihak yang terlibat dalam memastikan mutu pendidikan negara sentiasa dipertingkat selaras dengan hasrat kerajaan. 



LAMPIRAN 1

BORANG PENILAIAN KEMAHIRAN MENERANG


BIL

SUBKEMAHIRAN
TAHAP

ULASAN
1
2
3

1

Menggunakan alat bantu





2

Membuat demonstrasi





3

Menggunakan tekanan suara dan petunjuk keutamaan





Petunjuk Tahap Pencapaian
1 = Lemah
2 = Sederhana

3 = Baik

1 comment: